Sumber: E Fatwa
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
- Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa terdapat beberapa syarat bagi kontrak mudharabah yang sah mengikut syarak, iaitu antaranya:
Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu.
Pelaburan mestilah bersifat terbuka dan sesuatu pelaburan dianggap tidak sah jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barang tertentu contohnya, sejadah, atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu.
Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dan pengusaha.
Keuntungan yang dihasilkan mesti dikongsi bersama oleh pelabur dan pengusaha. Pelabur akan mengambil hasil pelaburan modalnya, sementara pengusaha akan memperoleh hasil usahanya.
Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja.
Kontrak pelaburan dianggap tidak sah jika wujud syarat yang menetapkan pelabur perlu bekerja bersama pengusaha.
- Muzakarah mendapati bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Syarikat Mecca Fund Global ini bertentangan dengan prinsip sebenar mudharabah dalam Islam, iaitu antaranya pelabur perlu membeli lot yang ditawarkan oleh pemilik syarikat, akan berlaku kehilangan modal dan berlaku ketidakpastian terhadap kadar keuntungan dan modal. Selain itu, pelaburan yang dijalankan juga bertentangan dengan undang-undang yang terpakai di Malaysia iaitu melakukan perbuatan mengambil deposit secara haram.
- Sehubungan itu, berdasarkan perkara-perkara tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan yang dijalankan oleh Mecca Fund Global adalah tidak mengikut prinsip mudharabah yang sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak. Pelaburan yang dijalankan juga didapatimelanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).
- Muzakarah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam skim pelaburan oleh Mecca Fund Global ini.
No comments:
Post a Comment