Tuesday 27 October 2015

Hartanah Jatuh Harga 2 Tahun Lagi? Apa kata Azizul Azli Ahmad


#TabungHartanah

1. Saya ditanya tentang pandangan Prof Dr Ho Ke Ping tentang saranan beliau agar orang muda jangan beli hartanah. Tunggu harga hartanah akan jatuh 2 tahun dari sekarang.

2. Ini pandangan saya yang bukan Profesor dan hanya pelabur di kampung. Saya sarankan anak muda dengar pandangannya, kerana dia seorang Profesor. Jangan ambil pandangan saya kerana saya bukan pakar.

3. Izinkan saya beri sedikit pandangan bila banyak yang bertanya. Saya dan beberapa sahabat saya senantiasa menulis tentang celik hartanah sejak tahun 2013. Kita cuba beri kesedaran hartanah pada golongan muda.

4. Saranan ini bukan baru anak muda, tahun 2007-2008 saya pernah dengar saranan yang sama dimedia. Semua orang kelam kabut dan 'share' merata dunia. Jangan beli hartanah katanya.

5. Kita sambut 'baik saranan' ini dan akhirnya nilai hartanah terus kekal menaik. Hari ini heboh lagi agar jangan beli rumah atau hartanah.

Anak muda yang kacak dan jelita,

6. Belian hartanah ada 3 cara, beli dari pemaju, pasaran sekunder dan pasaran lelongan. Pasaran yang dimaksudkan oleh Profesor ini mungkin belian dari pemaju.

7. Ada dua pasaran lagi yang kita boleh beli, iaitu sekunder atau bahasa kampungnya rumah terpakai dan hartanah terlelong. Pasaran ini sering dipandang sepi oleh golongan muda.

Kata mereka rumah ini tak cantik dan tidak wangi. Pasaran sekunder mula terjual banyak dibawah harga pasaran tahun ini, dan kadang kala harga ditentukan pembeli bila penjual terdesak.

8. Beli hartanah bukan soal waktu, ia soal kita telah bersedia atau tidak. Jika kita telah bersedia untuk ada komitmen membayar pembiayaan rumah, silakan beli sahaja.

9. Jika kita tunggu sampainya waktu hartanah jatuh harga, waktu itu ekonomi mungkin dah caca marba dan gila. Bank bank tentu sukar beri pembiayaan pada kita, kadar pinjaman juga pasti tinggi macam dulu kala (1997-1998). Bolehkah kita membeli?

Cadangan,

10. Jangan bermula membeli rumah yang mahal, saya seringkali sarankan anak muda membeli berdasarkan median gaji kita. Bukannya rumah yang kita suka.

Rumah pertama biar kecil dan sederhana. Hitung harga rumah berdasarkan kaki persegi (psf), bukan beli yang ada kolam mandi.

11. Malangnya ramai orang muda tidak tahu pengiraan rumah yang layak mereka beli berdasarkan gaji. Beli bukan hanya lihat harga tetapi nisbah kemampuan kita. Berapa harga rumah yang sesuai?

Gaji tahunan x 5.5 = harga kediaman yang layak kita dibeli.

12. Hartanah merupakan aset yang paling lambat terkesan akibat perubahan ekonomi. Ia tidak seperti instruments pelaburan lain yang cepat berubah.

13. Saya selalu pesan anak muda beli hartanah pada kadar 10%-20% dibawah harga pasaran, jika perubahan berlaku kita masih tidak terkesan.

Beli hartanah ini perlu ada ilmu, jangan terlalu awal atau terlalu lewat, sebab itu kita ajar.

14. Pemaju juga semakin tertekan tetapi margin keuntungan mereka masih mampu menampung 3 tahun kedepan, mereka telah hitung harga paku dan simen untuk 3 tahun kedepan baru letak harga rumah.

15. Kebarangkalian pemaju menurunkan harga rumah agak rendah, mereka mula menawarkan pelbagai hadiah percuma dari kipas, aircond dan tv plasma agar iman kita cair dan terus beli rumah.

16. Menyalahkan kerajaan, pemaju dan pelabur hartanah bukan langkah bijak. Mereka tidak membantu kita, kita harus bantu diri sendiri. Mereka terus rakus sebab mereka suka.

Bak kata ular dalam bangau oh bangau "dah memang makanan saya"

17. Skim kerajaan dan PR1MA masih dianggap mahal, pasaran sekunder jika kita bijak kita akan ada rumah pertama yang lebih murah dari yang ditawarkan.

18. Saya juga sarankan anak muda beli kediaman permulaan bawah RM200 000 sahaja, pasaran sekunder banyak kediaman jenis ini dimana mana.

19. Hartanah dan kouta bumiputra jika tidak terjual selepas tempoh tertentu akan dibuka kepada golongan bukan bumiputra, ia tidak kekal disitu selamanya.

Apakah kita nak biarkan tanah sekangkang kera ini dibuka kepada bukan bumiputera lagi ?

20. Ahli akademik dan politik seringkali merungut tentang statistik hartanah di Malaysia mahal, tetapi mereka tidak sediakan jalan keluar kepada masalah ini. Mereka juga suka salahkan orang.

Apakah ia penyelesaian yang baik, bila mahal kita "jangan beli?" Rumah adalah keperluan manusia.

21. Pelabur tegar hartanah terus kekal membeli dalam keadaan pasaran sekarang, mereka ada matlamat kewangan dan stategik yang disasarkan. Ingat, kita tak tinggal seorang didunia ini. Jika kita tak beli ramai lagi akan membeli.

22. Hartanah lelong dijangka bertambah mulai tahun depan, bersedialah.

23. Akhir kata, mengapa saranan 'hebat' ini hanya keluar di media Bahasa Melayu tetapi tidak dimedia bangsa lain. Kita memang suka perkara yang bawak kita kebelakang bukan?.

"Jika air dalam cawan masih panas jangan minum ditengahnya, minumlah dibahagian tepi". Jika belum mampu beli yang mahal, beli yang kecil dan kawasan pinggiran dulu.

Bermulalah sekarang atau 2 tahun nanti kita menyesal.

Wallahu A'llam

Dr Azizul Azli Ahmad
Abah Aqilah 
Pelabur Hartanah Kacak
Penulis buku Mudahnya Beli Rumah
Pernah Membeli 6 Rumah Setahun.
Masih kekal membeli 2 rumah setahun.

Thursday 22 October 2015

Nasihat Berguna Dari Lelaki Terkaya Di Dunia Kepada Anak Muda Berpendapatan RM2000

Dalam hidup ini pasti ramai impikan untuk menjadi kaya, apa yang diinginkan dapat dipenuhi dengan mudah tanpa memikirkan pasal kos yang terpaksa digunakan atau untuk dijimatkan. Tetapi untuk menjadi kaya bukanlah sesuatu yang mudah tanpa usaha dan keazaman yang tinggi. Li Ka-Shing, lelaki terkaya di Asia dan no 14 dunia dengan jumlah kekayaan bersih sehingga USD25.5 billion telah berkongsikan satu nasihat yang amat berguna kepada anak muda yang bergaji kira-kira RM2000.

Beliau bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi, dia tidak menamatkan pengajian di sekolah tetapi seorang yang amat minat membaca. Sifat itu adalah pengaruh daripada bapanya yang merupakan seorang guru yang mencintai ilmu. Walau bagaimanapun, Li Ka-Shing kehilangan bapanya sebelum berumur 15 tahun menyebabkan dia tidak dapatmenamatkan alam persekolahan kerana kesempitan hidup.

Bermula daripada seorang buruh kasar di sebuah kilang plastik, dia mencuba nasibnya menjadi seorang jurujual, juga dalam industri barangan plastik. Walaupun bergelar orang paling kaya di Asia, dia hanya memakai jam tangan berjenama Seiko yang dibelinya pada masa mula menjadi usahawan muda dahulu. Dia memang terkenal dengan cara hidup yang berjimat cermat dan amat suka membaca bagi mengumpulkan ilmu.

Ketika mula bekerja sebagai buruh kasar Li Ka-Shing berpeluang membantu majikannya mengarang satu surat penting. Peluang itu berlaku apabila kerani majikannya tak hadir dan tiada orang yang boleh membantu majikannya buat surat. Oleh sebab Li Ka-Shing tahu membaca dan menulis, orang menunjukkan beliau pada majikannya. Setelah Li Ka-Shing berjaya buat surat, majikannya kagum dengan keupayaan beliau mengarang dengan baik, lalu ditawarkan kerja pejabat yang lebih mudah.

Tapi sikap sebagai usahawan muda yang ada pada dirinya membuatkan dia menolak tawaran tersebut. Sebaliknya dia minta untuk menjadi seorang jurujual daripada menjadi seorang kerani. Oleh sebab suka dengan sikap Li Ka Shing, majikannya mengizinkan beliau menjadi jurujual. Terbukti bakatnya sebagai seorang jurujual amat hebat. Hasil jualannya seorang diri mengatasi hasil gabungan jualan kesemua jurujual yang ada dalam masa yang singkat saja. Bila dia bercadang nak buka kilang buat bunga tiruan dari plastik, majikannya yang yakin akan bakat Li Ka Shing mahu mengikutinya dan menjadi rakan kongsi Li Ka Shing. Ertinya majikannya sanggup berada di bawah pimpinan Li Ka Shing yang masih muda itu. Majikannya sanggup jual kesemua kilangnya untuk mengumpul dana bagi menjayakan hasrat Li Ka Shing.

Kini, Li Ka Shing adalah orang paling kaya di Asia. Dia masih kekal bersederhana walaupun kekayaannya amat hebat. Jom kita baca apa nasihatnya kepada mereka yang berpendapatan RM2000 jika mahu berjaya dalam hidup.

PETUA LI KA-SHING UNTUK ANAK MUDA

Katakan anda berpendapatan sebanyak RM2000 sebulan sekarang. Tak kira samada anda dah berniaga atau anda masih makan gaji. Pastikan anda bahagikan pendapatan itu kepada 5 bahagian.


1. Belanja untuk sara hidup anda

Pastikan anda bersederhana dalam belanja sara hidup. Jumlah sebanyak maksima RM600 mungkin dah cukup jika anda pandai berjimat. Bajet sekitar RM20 sehari untuk perbelanjaan hidup walau apapun yang berlaku.

Makan pagi secara sederhana dengan makan bihun atau nasi goreng, telur sebiji dan air segelas. Itu dah cukup mengenyangkan.

Makan tengahari juga dengan cara yang sederhana dan sedikit buah.

Makan malam pastikan anda masak sendiri dengan cara yang mudah dan sederhana. Makan sayur dan buah dan minum segelas susu sebelum tidur.


2. Belanja untuk bina rangkaian kawan

Untuk itu anda perlukan sebuah telefon bimbit. Bajet sekitar RM100 saja sebulan untuk bil telefon anda. Peruntukkan sebanyak RM300 lagi untuk belanja kawan makan. Anda boleh bajet dalam 3 orang sebulan dengan kos RM100 seorang. Jadi jumlahnya adalah dalam lingkungan RM400 untuk aktiviti bina rangkaian kawan ini. Pastikan kawan yang anda belanja itu adalah mereka yang:

Lebih berilmu daripada anda. Jangan belanja orang yang entah apa-apa yang berfikiran negatif dan tidak punya ilmu yang lebih baik dari anda sendiri.

Lebih kaya daripada anda. Belanja mereka walaupun mereka lebih kaya kerana apa yang mereka tahu perlu menjadi rahsia yang perlu dikorek.

Orang yang membantu anda dalam kerjaya atau perniagaan. Tak ada usahawan yang boleh naik tanpa bantuan dari mereka yang prihatin dan besar jiwanya membantu orang lain. Jadi hargai mereka dan jangan kemut untuk belanja mereka. Ia bakal menjadi magnet untuk lebih ramai lagi orang lain datang memberikan bantuan selepas ini.


3. Belanja untuk aktiviti menuntut ilmu

Jangan ambil mudah dengan aktiviti menuntut ilmu untuk berjaya. Tak ada orang yang boleh pergi jauh jika malas mencari ilmu. Untuk itu anda perlu pastikan sejumlah RM300 diperuntukkan untuk:

Beli buku pengetahuan. Jangan pula beli buku mengarut seperti surat khabar, novel, majalah mangga dan sebagainya. Belilah buku yang anda boleh kutip ilmu dan aplikasikannya dalam kehidupan. Baca betul-betul dan jangan sia-siakan wang yang dibelanjakan untuk beli buku tersebut. Mungkin anda perlu siapkan dalam RM100 sebulan untuk beli buku.

Ikuti seminar atau kursus keilmuan yang anda rasa penting dan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan diri anda. Belanjakan dalam lingkungan RM200 sebulan untuk kursus atau seminar yang baik untuk anda. Anda akan dapat ilmu dan penting lagi anda akan berkenalan dengan mereka yang turut sama mahu berjaya dalam hidup seperti anda.


4. Belanja untuk melancong ke luar negara

Peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk aktiviti berjalan ke negeri orang. Anda boleh tetapkan satu aktiviti berjalan ke luar negara sekali setahun. Jika anda sediakan RM200 sebulan, setahun anda akan ada sebanyak RM2,400. Jumlah itu memadai untuk anda melancong ke negara jiran yang kosnya murah. Berjimat dengan penuh kemut ketika melancong. Bukan kemewahan yang yang dicari, tapi apa yang boleh anda pelajari daripada pengembaraan itulah yang paling penting. Jauh perjalanan, luas pemandangan!


5. Peruntukan untuk simpanan

Baki selanjutnya sebanyak RM500 hendaklah disimpan dalam akaun simpanan. Masukkan dalam tabung haji atau mana-mana akaun yang susah nak dikeluarkan. Ia adalah pelaburan untuk modal memulakan perniagaan anda.

Mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Trading mungkin satu pilihan yang baik. Bila mula kecil, gagal bermakna anda hanya hilang wang yang sedikit. Jika berjaya, ia jadi suntikan semangat untuk anda berjaya lebih tinggi sedikit lagi.

Cuba buat kerja tambahan untuk tambah pengalaman. Libatkan diri dengan aktiviti menjual kerana menjual adalah perkara penting untuk setiap usahawan yang mahu berjaya.

Beliau pada masa yang sama menasihatkan supaya anak-anak muda berjimat cermat, jangan menghabiskan duit untuk kehendak seperti membeli pakaian dan kasut mewah. Simpan terlebih dulu wang anda. Gunakan sebaik mungkin untuk mengembangkan wag simpanan berkenaa dan jalan terbaik untuk kaya adalah berniaga.

Sumber : SiakapKeli

Monday 19 October 2015

Harga kad tambah nilai prabayar telefon kembali seperti sebelum pelaksanaan GST, pada 1 November ini


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon kembali seperti sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pada 1 November ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, JKDM telah berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dikenakan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat telekomunikasi (telco) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil.

“Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu JKDM buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman pada 1 November ini,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pengguna 2015 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Dewan Razakian, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh menerima alasan daripada pihak telco seperti sebelum ini bahawa sistem komputer mereka belum bersedia, kerana tempoh yang telah diberikan kepada telco terlalu lama.

“Jika pihak telco masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu juga patuh pada arahan ini iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal. Sebab, secara logiknya kalau pihak telco tidak bersedia, kenapa pengguna pula yang kena tanggung kos tambahan,” katanya.

Dalam sesi forum ketiga yang bertajuk GST membawa kemakmuran dan kesengsaraan? - satu kajian semula, Johari turut menjadi ahli panel bersama Penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar), Bazeer Ahmad.

Awal Mei lalu, telco telah menawarkan dua pilihan yang tidak menyebelahi rakyat iaitu bersetuju menjual kad tambah nilai prabayar pada harga RM10.60 tetapi apabila diaktifkan pengguna menerima nilai RM10 manakala pilihan kedua pembelian pada harga RM10 dan apabila diaktifkan, pengguna hanya menerima RM9.43.

Dalam perkembangan lain, Johari turut memberitahu, kira-kira 70,000 peruncit di seluruh negara diwajibkan menggunakan sistem di tempat jualan atau Point of Sales bagi memantau jualan dan stok barangan dengan lebih efisien, sistematik dan teratur.

Katanya, kerajaan memberi tempoh kepada para peruncit untuk menukar sistem konvensional kepada POS selama sebulan bermula awal bulan ini.

“Sistem ini juga dapat membantu pengguna supaya tidak terus ditipu oleh peniaga yang sengaja mengenakan GST kepada semua produk yang dibeli termasuk barangan yang dikecualikan cukai tersebut.

“Kerajaan juga telah menyediakan ramai pembekal sistem POS ini bagi membantu golongan peniaga kecil dengan menawarkan pelbagai pakej pilihan seperti murah, mudah dan bayaran ansuran serendah RM30 sebulan,” katanya.